Anggota polis maut motosikal melanggar treler

image

IPOH 8 Feb. - Seorang konstabel polis maut setelah motosikal ditunggangnya melanggar sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 284.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 2.15 pagi, Muhammad Najmuddin Afham Nasir, 25, yang bertugas di Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Ipoh maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati lori dipandu lelaki berusia 23 tahun diletakkan di lorong kecemasan kerana mengalami kerosakan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda C100 yang ditunggang mangsa melanggar sisi kanan kenderaan berat berkenaan dari arah belakang.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan menurut pemandu treler, mangsa kemudiannya telah dilanggar oleh sebuah kenderaan lain.

“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk siasatan lanjut. Pemandu lori tidak cedera,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/anggota-polis-maut-motosikal-rempuh-treler-1.605186#ixzz56UYwnyTU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kelayakan umur untuk memandu