TAHUN KEMALANGAN KEMATIAN
1993 135,995 4,666
1994 148,801 5,759
1995 162,491 5,712
1996 189,109 6,304
1997 215,632 6,302
1998 211,037 5,740
1999 223,116 5,791
2000 248,765 5,997
2001 262,235 5,742

JENIS KENDERAAN YANG TERLIBAT DALAM KEMALANGAN MAUT PERATUS (%)
Motosikal 54%
Motokar 20.7%
Lori 11.2%
Van 4.4%
Basikal 3.2%
Pacuan 4 Roda 2.5%
Bas 3.0%
Lain-lain 1.0%

JENIS KENDERAAN CEDERA MAUT
Motosikal 288,055 29,841
Motokar 59,402 7,297
Pejalan Kaki 39,715 5,959
Basikal 20,388 2,616
Lori 16,978 1,665
Bas 8,029 624
Lain-lain 8,877 2,590

Usaha-usaha mengawasi keselamatan jalan raya telah dijalankan oleh orang perseorangan, Agensi-agensi Kerajaan dan Badan Berkanun. Kempen-kempen keselamatan jalan raya telah dilancarkan dengan hasrat agar pemandu-pemandu mempunyai sikap dan kemahiran yang baik ketika berada di jalan raya. Maka atas sebab itu, buku Kurikulum Pendidikan Pemandu diperkenalkan.

B. Panduan Umum Kepada Pemandu Kenderaan

1 - Pelbagai faktor telah dikenal pasti menyebabkan kemalangan jalan raya. Salah satu faktor terpenting adalah berkaitan dengan sikap pemandu-pemandu. Kemalangan mudah berlaku kepada pemandu-pemandu yang mempunyai sikap negatif seperti panas baran, suka menunjuk-nunjuk, memandu dengan kadar kelajuan yang tinggi dan sebagainya. Sebaliknya pemandu-pemandu yang memiliki sikap positif seperti bertimbangrasa, cermat dan sentiasa menghormati pengguna-pengguna jalan raya lain mungkin dapat mengelakkan kemalangan.

2 - Dengan memandu secara bersopan dan bertanggungjawab sebenarnya secara tidak langsung menjadi contoh dan teladan kepada pengguna-pengguna jalan raya lain seterusnya dapat mengurangkan
kemalangan jalan raya.

3 - Pemandu kenderaan perlu bersopan dan bertimbangrasa kepada semua pengguna jalan raya lain terutamanya kepada penunggang basikal dan pejalan kaki. Mereka perlu mengawal perasaan ketika memandu dan mematuhi segala peraturan lalulintas. Mereka ini juga tidak perlu mudah tersinggung dengan tingkahlaku pengguna jalan raya yang lain sehingga mempengaruhi di dalam proses
membuat keputusan dan tindakan ketika memandu.

4 - Sikap pemandu-pemandu yang tidak sopan bukan sahaja dilihat daripada cara memandu seperti memandu terlalu laju dan memotong ke tepi dan ke tengah tanpa menghiraukan kenderaan lain tetapi juga dapat dilihat melalui tindakan lain seperti :-
  • Gagal memberikan isyarat dengan sempurna.
  • Membunyikan hon kereta tanpa sebab.
  • Meletak kereta di liku atau terkeluar jauh dari tepi jalan.
  • Memandu dengan sebelah tangan, sementara tangan lain memegang tepi bumbung kereta.
  • Memandu di tengah jalan apabila kenderaan lain hendak memotong.
  • Memandu di tempat lumpur dan becak dengan laju dan menyebabkan air terpercik kepada pejalan kaki.

5 - Beberapa perbuatan tidak sopan dan tindakan kurang bijak yang membawa bahaya dan boleh dikatakan tindakan yang merbahaya. Misalnya :-
  • Memandu laju apabila penglihatan kurang baik seperti semasa hujan lebat.
  • Memotong di liku atau lereng bukit yang berliku dan tidak dapat dilihat dengan mudah.
  • Dengan sengaja mengganggu pandangan lalu lintas dari hadapan dengan memasang lampu besar kenderaan.

6 - Semua pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya tidak mengambil alkohol ketika memandu di jalan raya. Penggunaan alkohol sebenarnya boleh melemahkan daya pertimbangan akal dan
mengurangkan kewaspadaan ketika memandu. Statistik kemalangan yang berpunca daripada pengaruh alkohol menunjukkan pada kadar yang sangat tinggi.

7 - Sikap positif perlu diterap dalam jiwa kita sebagai pengguna jalan raya yang bertanggungjawab. Sebagai contoh, pemandu kenderaan besar perlu menghormati pemandu-pemandu kenderaan yang lebih kecil. Begitu juga apabila melihat orang-orang buta atau hilang upaya melintasi jalan, pemandu atau pejalan kaki perlu memberi bantuan yang sewajarnya. Bagi pemandu kenderaan, adalah perlu memberhentikan kenderaan masing-masing sehingga orang yang hilang upaya tersebut dapat melintasi jalan. Bagi pejalan kaki pula, adalah wajar bagi mereka menghampiri orang-orang yang hilang upaya tadi dan membantunya untuk menyeberangi jalan.

C. Sikap Dan Tanggungjawab Pemandu

1) Pemandu Dan Pejalan Kaki

Sebagai pemandu kenderaan, anda jangan sekali-kali beranggapan bahawa pejalan kaki sentiasa berwaspada apabila berada di jalan raya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab anda untuk berkongsi jalan raya secara bijak bersama pejalan kaki dengan memberi perhatian dan tumpuan apabila setiap kali anda melihat pejalan kaki.

Terdapat beberapa tempat di mana pemandu kenderaan mesti meningkatkan kewaspadaannya apabila memandu di tempat-tempat yang berkaitan. Diantaranya adalah
seperti berikut:-

i) Di tempat kanak-kanak sekolah melintas
  1. Pemandu kenderaan mestilah memandu dengan berhatihati dan dapat memberhentikan kenderaan yang dipandu dengan serta merta apabila keadaan memerlukan anda berbuat demikian.
  2. Pemandu kenderaan mestilah memberhentikan kenderaan apabila ternampak kanak-kanak sekolah mula melangkah kakinya ke atas jalanraya atau tempat menyeberang walaupun tiada warden atau pengawal lalulintas di tempat tersebut.
  3. Pemandu kenderaan tidak dibenarkan bergerak sehinggalah pejalan kaki yang berkenaan meninggalkan tempat menyeberang berkenaan.

ii) Di tempat orang melintas
Pemandu kenderaan hendaklah sentiasa berwaspada kerana tidak semua pejalan kaki itu berhati-hati apabila mereka ingin melintas di tempat melintas. Ada di kalangan pejalan kaki yang berpendapat bahawa mereka adalah bebas dan selamat apabila melintas tanpa melihat kiri dan kanan.


iii) Di tempat bas/teksi berhenti
Pemandu kenderaan mestilah berhati-hati apabila melalui tempat bas/teksi berhenti, ini adalah kerana berkemungkinan terdapat pejalan kaki yang turun dari bas dan teksi dan terus melintas jalan tanpa melihat ke kiri atau ke kanan jalan.

Keadaan menjadi lebih merbahaya sekiranya terdapat pejalan kaki yang melintas jalan melalui hadapan atau belakang bas yang berhenti di mana anda tidak dapat melihat kerana mereka terselindung.

iv) Di kawasan perumahan
Pemandu kenderaan hendaklah berwaspada setiap kali melalui kawasan perumahan. Kemungkinan terdapat kanak-kanak yang muncul secara tiba-tiba ke laluan anda adalah tinggi dikawasan perumahan.

v) Di kawasan penempatan orang-orang tua dan cacat
Secara amnya, pendengaran dan penglihatan orang tua dan cacat adalah lemah juga boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Mereka ini juga tidak berupaya
untuk melihat dengan jelas kehadiran kenderaan di persekitarannya. Oleh itu pemandu mestilah berhati-hati apabila melalui tempat tersebut. Jika perlu anda dinasihatkan membunyikan hon.

vi) Kawasan tumpuan orang ramai (Tempat hiburan, pertunjukkan, pasar, ceramah dan sebagainya)
Terdapat pelbagai kategori pejalan kaki di kawasan tumpuan ini. Mungkin terdapat pejalan kaki yang mabuk atau membawa banyak barangan atau tidak memberikan tumpuan atau terlalu seronok dan mereka ini tidak memberikan tumpuan dan perhatian ketika berjalan.

Oleh itu pemandu hendaklah memberi perhatian ketika melalui kawasan ini.

vii) Semasa cuaca buruk
Adalah menjadi lumrah pejalan kaki akan tergesa-gesa, dan tidak memberi tumpuan ketika berjalan dalam keadaan begini.
Pemandangan pemandu kenderaan pula menjadi kurang jelas, dan keadaan ini boleh menyumbang berlakunya kemalangan keatas pejalan kaki. Pemandu kenderaan perlu berhati-hati dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya.

2. Pemandu Dan Penunggang Basikal

i) Apabila seorang pemandu melihat seseorang penunggang basikal, beliau hendaklah dengan segera bertindak menjangkakan sesuatu bahaya di hadapan kerana penunggang basikal tersebut kemungkinan akan membelok ke kanan dan keluar daripada laluannya, terutamanya jika penunggangnya terdiri daripada kanak-kanak. Disamping itu setiap pemandu kenderaan juga hendaklah memahami langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil, sekiranya berlaku sesuatu yang membahayakan umpamanya bersedia membuat brek kecemasan atau membelok ke kanan.

ii) Seseorang pemandu juga perlu bertindak dengan segera apabila melihat adanya penunggang basikal di hadapan kerana seseorang pemandu tidak boleh melihat sesuatu bahaya itu dengan sikap yang sambil lewa sahaja kerana sikap tersebut boleh dianggap cuai.

iii) Pemandu juga perlu mengurangkan kelajuan kenderaan apabila menghampiri kawasan sekolah, yang terdapat ramai murid-murid sekolah yang menunggang basikal di kiri dan kanan jalan.

iv) Pemandu kenderaan seharusnya tidak membunyikan hon apabila melihat penunggang basikal di hadapan, kerana ia boleh mengejutkan penunggang basikal tersebut, kecuali di dalam keadaaan hendak
memberitahu niat anda hendak memotong atau di kawasan jalanraya yang mana pandangan hadapannya terhalang seperti selekoh, jalan berbukit dan sebagainya.

v) Pemandu kenderaan juga jangan meninggalkan kenderaan di jalan raya yang gelap tanpa memasang lampu kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada penunggang basikal. Jika lampu gagal berfungsi, ubahlah kenderaan dari kawasan jalan secepat mungkin atau memasang lampu kecemasan untuk menandakan kedudukan kenderaan.

vi) Pemandu kenderaan perlu memberikan isyarat yang cukup dan tentukan keadaan selamat sebelum bergerak keluar dari tempat letak kereta ke laluan lalulintas, supaya isyarat tersebut dapat dilihat dengan jelas dan terang oleh pengguna jalanraya yang lain, terutamanya penunggang basikal.

3. Pemandu Dan Penunggang Motosikal

i) Penunggang Motosikal adalah golongan yang paling tinggi terlibat di dalam kemalangan jalanraya, kerana selain daripada faktor jumlah kenderaan yang banyak terdapat di jalanraya, golongan ini juga terdiri daripada pemandu-pemandu yang muda dan murid-murid sekolah. Oleh yang demikian semasa berhadapan dengan penunggang motosikal, pemandu-pemandu kenderaan yang lebih besar hendaklah sentiasa berwaspada dan lebih berhati-hati.

ii) Pemandu kenderaan dilarang membunyikan hon apabila melintasi/memotong penunggang motosikal kerana ia kemungkinan akan membuatkan mereka terkejut dan terkeluar daripada laluan dan memasuki ke lorong sebelah kanan. Walaupun demikian hon adalah perlu dibunyikan jika penunggang motosikal menunggang secara beriring-iringan.

iii) Pemandu kenderaan juga perlu memberikan isyarat, yang cukup dan jelas serta mengambil jarak yang selamat sebelum memotong penunggang motosikal. Langkah tersebut juga perlu diambil ketika mahu memasuki semula ke lorong selepas memotong.

iv) Pemandu kenderaan hendaklah mengekori penunggang motosikal dihadapan pada jarak yang selamat dan jangan mengekori mereka terlalu rapat, kerana ia boleh mengganggu tumpuan dan ‘konsentrasi’ penunggang motosikal dan juga menakutkan mereka. Gunakan peraturan jarak 2 saat dan 4 saat.

v) Pemandu kenderaan juga perlu memberikan isyarat yang cukup dan jelas semasa hendak menukar haluan atau semasa membelok ke kiri atau ke kanan disamping itu pemandu juga melihat cermin pandang belakang dan cermin sisi untuk memeriksa kawasan ‘blind spot’, bagi memastikan tiada penunggang motosikal semasa membelok.

vi) Semasa memandu di waktu malam pemandu kenderaan perlu lebih berhati-hati dan berwaspada kerana banyak motosikal yang ditunggang tidak mempunyai lampu belakang yang jelas dan terang. Pemandu kenderaan juga dilarang menggunakan lampu tinggi semasa bertembung dengan penunggang motosikal, kerana mata penunggang boleh menjadi silau dan kemalangan boleh berlaku.

vii) Semasa memandu di dalam keadaan jalan yang sesak dengan kenderaan, pemandu-pemandu perlu lebih berhati-hati dan berwaspada kerana terdapat penunggang motosikal yang menunggang di celah-celah kenderaan yang sedang bergerak perlahan.

4. Pemandu Dan Kenderaan Lain.

A. Motokar sekolah/lnstitut Memandu yang sedang mengajar/sedang diuji oleh pegawai JPJ

i) Apabila menemui kenderaan sekolah/institut memandu yang sedang mengajar dan di gantung plat “L” anda hendaklah menganggap kenderaan tersebut boleh mendatangkan sesuatu keadaan yang merbahaya kepada anda, kerana kenderaan tersebut sedang dipandu oleh seseorang yang sedang belajar memandu dan belum mahir atau cekap memandu. Oleh yang demikian, situasi berikut mungkin terjadi:-
  • Kenderaan dipandu perlahan
  • Kenderaan dipandu ke tepi dan ke tengah jalan
  • Kemungkinan kenderaan berhenti secara mengejut
ii) Sebagai pemandu kenderaan yang bijak, anda hendaklah segera mengambil langkah-langkah keselamatan apabila berhadapan dengan situasi demikian, diantaranya ialah:-
  • Jangan mengikut kenderaan di hadapan terlalu rapat
  • Pastikan jarak kenderaan anda adalah selamat jika kenderaan tesebut berhenti secara mengejut
  • Jangan membunyikan hon atau mengeluarkan sebarang tanda amaran/lucah, jika kenderaan dipandu perlahan
  • Mengambil sikap sabar dan menghormati pemandu lain, kerana anda juga pernah melakukan perkara yang sama suatu masa dahulu

B. Kenderaan dipandu oleh pemandu lesen Percubaan

Apabila anda berhadapan dengan kenderaan yang dipandu oleh pemandu percubaaan (P), anda perlu berhati-hati kerana mereka merupakan orang yang baru memperolehi lesen memandu dan mempunyai tahap kecekapan yang agak rendah. Oleh yang demikian anda perlu memberi tumpuan keatas kemungkinan kesilapan yang akan dilakukan dan bersedia untuk mengambil langkah keselamatan.

C. Kenderaan-kenderaan perkhidmatan awam

Apabila anda berhadapan dengan kenderaan perkhidmatan awam seperti bas dan teksi, perhatian yang lebih hendaklah
diberikan terhadap kenderaan ini. Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian ialah:-
  • kenderaan tersebut akan berhenti secara mengejut untuk mengambil dan menurunkan penumpang.
  • Terdapat penumpang yang melintas jalan di hadapan/belakang bas tanpa melihat kiri dan kanan jalan raya.
  • Kenderaan memulakan perjalanan tanpa melihat dan memberi keutamaan kepada kenderaan dari belakang.
Oleh yang demikian apabila anda berhadapan dengan kenderaan perkhidmatan-perkhidmatan awam, anda perlu sentiasa bersedia dan berada dalam jarak yang selamat.

D. Jentera Berat (Seperti Jentera Beroda, Jengkaut atau Traktor)

Apabila anda berhadapan dengan jentera berat, anda akan menghadapi masalah seperti kenderaan itu bergerak perlahan. Anda perlu mengekori kenderaan ini dengan berhati-hati dan mencari jalan untuk memotong. Anda perlu mengamalkan peraturan memotong apabila anda ingin memotong kenderaan ini. Pastikan anda memotong di tempat yang dibenarkan dan jangan sekali-kali memotong di tempat yang merbahaya.

E. Pemandu Dan Kenderaan Yang Mempunyai Hak Keutamaan (POLIS, AMBULAN, BOMBA, JPJ Dan KASTAM)

Pemandu kenderaan lain hendaklah memberi laluan kepada mana-mana kenderaan Polis, Ambulan, Bomba,
JPJ dan Kastam yang membunyikan siren walaupun pada masa itu anda mempunyai hak laluan (right of way).

Keutamaan bergerak mestilah diberikan kepada kenderaan tersebut di atas kerana undang-undang telah memperuntukkan kepada kenderaan tersebut untuk berbuat demikian. Kegagalan anda untuk memberi keutamaan kepada kenderaan kecemasan menyebabkan kenderaan anda boleh terlibat dalam kemalangan dan tindakan undang-undang boleh diambil bagi pemandu yang gagal memberi laluan.

F. Pemandu Kenderaan Perdagangan (Lori. Treller, Lori Kontena dsb)

Apabila anda bertemu dengan kenderaan perdagangan seperti lori, treller, lori kontena dan sebagainya samada kenderaan itu bergerak atau berhenti di tepi jalanraya, anda hendaklah lebih berhati-hati dengan mengambil langkah-langkah berikut:-
  • Memerhatikan tanda-tanda yang terdapat atau ditulis pada badan kenderaan seperti perkataan ‘merbahaya’, ‘lori panjang’ ‘brek angin’ dan ‘bahan mudah terbakar’.
  • Elakkan daripada memasuki ruang dihadapan/berhenti dihadapan dengan serta merta sebab kenderaan berat memerlukan jarak berhenti yang jauh untuk memberhentikan kenderaan.
  • Menentukan jarak yang selamat semasa mengekori kenderaan berat samada semasa ianya memulakan perjalanan atau mendaki bukit atau mengambil selekoh.
  • Lebih berwaspada semasa memotong kenderaan berat kerana kenderaan berat mempunyai kawasan dan blind spot yang lebih besar. Anda hendaklah memastikan berkomunikasi dengan pemandu lori dengan membunyikan hon untuk memaklumkan niat anda untuk memotong kenderaan tersebut.