Pakaian memainkan peranan yang penting semasa memandu. Peraturan berikut hendaklah di patuhi semasa memandu :-
  1. Baju yang digunakan hendaklah tidak menyekat pergerakan lengan dan tangan.
  2. Seluar yang ketat hendaklah dielakkan kerana akan menyekat pergerakan kaki.
  3. Memakai kasut yang tapaknya lembut adalah sesuai semasa memandu kerana anda dapat merasa pedal yang ditekan. Memakai selipar semasa memandu adalah tidak digalakkan.
c ) Persediaan asas dalam kenderaan

  1. Sebelum memulakan perjalanan tentu dan betulkan tempat duduk anda supaya alat kawalan seperti suis lampu dan penunjuk arah dapat dicapai tanpa perlu menjangkau tangan dan kaki.
  2. Pastikan cermin pandang belakang dan cermin sisi dalam keadaan yang betul.
  3. Pastikan lampu isyarat, hon dan pencuci cermin berfungsi.
  4. Pastikan paras suhu (temperature) dalam keadaan stabil dan bahan bakar (fuel) mencukupi.
  5. Pastikan gear dibebaskan dengan sepenuhnya sebelum menghidupkan enjin.

2. Tindakan Semasa Memandu

a) Peraturan mula bergerak

Sebelum menggerakkan kenderaan, anda di nasihatkan supaya mengambil perhatian kepada beberapa perkara seperti berikut:
  1. Penggunaan Cermin. Pastikan anda melihat cermin pandang belakang dan sisi sebelum memberi isyarat.
  2. Memberi Isyarat. Pastikan anda memberi isyarat secukupnya sebelum mula bergerak.
  3. Menoleh ke belakang. Pastikan anda menoleh ke belakang sedikit selepas memberi isyarat dan sebelum memulakan pergerakan bagi mengelakkan daripada terlepas pandangan apabila terdapatnya kenderaan yang tidak dapat dilihat melalui cermin pandang belakang dan sisi atau berada dalam kawasan ‘Blind Spot’.
  4. Gear dan Cekam
    • Pastikan gear dalam keadaan bebas ‘neutral’.
    • Tekan sedikit pedal pemecut dan pusingkan kunci untuk menghidupkan enjin.
    • Lepaskan pedal pemecut sebaik sahaja enjin dihidupkan.
    • Pastikan tiada pengguna jalanraya yang lain didepan dan belakang.
    • Beri isyarat tentang apa yang anda hendak lakukan.
    • Tekan pedal klac dan masuk gear satu serta lepaskan brek tangan.
    • Tekan sedikit pedal pemecut dan sekaligus lepaskan perlahan-lahan pedal klac.
    • Pastikan keadaan mengizinkan kereta anda bergerak dengan selamat dengan menoleh bahu pada bahagian terlindung ‘blind spot’.
    • Biarkan kenderaan mula bergerak dengan perlahan.
    • Lepaskan pedal klac seluruhnya.

b) Peraturan untuk memberhentikan kenderaan

Perkara-perkara seperti berikut hendaklah sentiasa diberi perhatian dan diingat ketika anda akan berhenti dipersimpangan atau di belakang sesebuah kenderaan lain :
  • Awasi pengguna-pengguna jalanraya yang lain di depan anda.
  • Gunakan cermin pandang belakang untuk melihat dan mengetahui lalulintas di belakang.
  • Beri isyarat tentang apa yang anda hendak lakukan.
  • Awasi bahagian yang terlindung di kiri anda.
  • Lepaskan pedal pemecut.
  • Ikut jalan disebelah kiri atau lorong yang betul.
  • Tekan pedal brek perlahan-lahan.
  • Tekan pedal klac sepenuhnya bila kereta hampir berhenti.
  • Teruskan menekan pedal klac dan pedal brek.
  • Tarik brek tangan dan tolak tuil gear ke tahap neutral.
  • Letakkan kaki diatas pedal brek semasa berhenti

3. Peraturan Mengimbangi Penggunaan Gear, Klac Dan Pemecut

Menukar gear adalah satu lagi aspek pemanduan asas yang penting. Semasa memandu, anda dikehendaki memilih gear yang sesuai dengan memerhatikan kelajuan kenderaan melalui bunyi enjin, melihat pantas sekali sekala pada meter kelajuan kereta atau melihat pemandangan diluar yang bergerak. Latihan menukar gear adalah satu aspek penting dalam memahirkan anda untuk memandu sebagaimana dinyatakan seperti berikut:

Gear Satu
  • Tekan Pedal klac
  • Masuk gear satu
  • Lepaskan pedal klac separuh sahaja dan sekaligus tekan sedikit pedal pemecut
  • Lepaskan pedal klac selanjutnya dan tekan pedal pemecut untuk menambah kelajuan.
  • Tekan pedal pemecut sehingga kereta mencapai kelajuan antara 15 - 20 km sejam
Gear Dua
  • Tekan pedal klac dan sekaligus lepaskan pedal pemecut.
  • Tolak gear dari satu kepada gear dua.
  • Lepaskan pedal klac separuh sahaja, kemudian lepaskan lagi perlahan-lahan dan sekaligus tekan pedal pemecut.
Gear Tiga
  • Tekan pedal klac dan sekaligus lepaskan pedal pemecut.
  • Tukar gear dari gear dua kepada gear tiga.
  • Lepaskan pedal klac terus menerus dalam satu gerak dan sekaligus tekan pedal pemecut.
  • Tekan pedal pemecut sehingga kenderaan mencapai kelajuan antara 40 - 45 km sejam.
Gear Empat dan Seterusnya.
  • Tekan pedal klac dan sekaligus lepaskan pedal pemecut.
  • Tukar gear dari tiga kepada gear empat dan seterusnya.
  • Lepaskan pedal klac terus menerus dalam satu gerak dan sekaligus tekan pedal pemecut.
  • Tekan pedal pemecut secara beransur-ansur ke tahap kelajuan yang dibenarkan.
4. Kawalan Stering

Mengawal stering dengan betul adalah asas keseimbangan dan kemantapan kenderaan. Oleh itu penting dikekalkan kawalan maksimum pada stering setiap waktu semasa berada dalam kenderaan.

Anda perlu memegang stering dengan lembut untuk mengekalkan kenderaan berjalan lurus. Bagaimanpun, mungkin anda perlu memegang dengan erat supaya
kenderaan dapat kekal berjalan dengan baik ketika melalui selekoh, membrek, memandu di jalan yang tidak rata seperti lorong berlopak, jalan berlumpur dan berbonggol.

Cara yang sesuai untuk memegang stering :
  1. Pegang stering dengan kedua belah tangan seperti kedudukan jarum jam pada pukul 10.00 - tangan kiri - dan 2.00 - tangan kanan-.
  2. Jangan lepaskan stering dan membiarkannya berputar semula dengan sendirinya selepas anda membelok.
  3. Jangan mengerakkan badan anda bila memusingkan stering.
Pemandu harus sentiasa memandang jauh ke depan untuk mengawasi keadaan jalan yang berbeza-beza agar pegangan stering boleh disesuaikan dan ketangkasan memusingkan stering boleh dilakukan dengan wajar.

Apabila memandu diselekoh yang tajam, pusingkan stering sedikit demi sedikit tanpa mengalihkan kedua-dua belah tangan anda. Selepas melalui selekoh, pusingkan semula stering ke tahap asal untuk meneruskan perjalanan.

Bila anda mengundurkan kenderaan, pandulah seperti anda mahu memandu ke depan. Anda harus memusingkan stering ke arah yang hendak anda tuju.

5. Titik Buta (Blind Spot)

Titik buta (blind spot) adalah dua kawasan di kiri dan kanan kenderaan yang terlindung dari pandangan mata pemandu kenderaan. la juga terselindung dari penglihatan dengan mengunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Terdapat 2 kawasan di kiri dan kanan kenderaan yang terlindung oleh pandangan pemandu, cermin tepi dan pandang belakang. Kawasan ini dinamakan “ Blindspots”. Sebelum memotong, menukar lorong mahupun memasuki simpang pemandu perlu pusingkan kepala untuk melihat jika terdapat sebarang kenderaan di kawasan ini.

Sebagai seorang pemandu, tindakan berhati-hati perlu diambil sebelum membuat keputusan :-
  1. menukar lorong semasa memandu
  2. ketika ingin memotong kenderaan lain
  3. ketika ingin memasuki persimpangan
Tindakan yang perlu diambil untuk mengatasi masalah titik buta (blind spot) adalah seperti berikut :-
  1. Menoleh sedikit disebelah kanan atau kiri sebelum membuat sebarang pergerakan.
  2. Menggunakan isyarat lampu (signal) sebelum bergerak.
  3. Membunyikan hon sebelum bergerak.




6. Tindakan Selepas Memandu

Perkara-perkara penting yang perlu diberi perhatian ketika anda akan meninggalkan kenderaan :-
  1. Berhenti ditempat yang selamat.
  2. Pastikan brek tangan diletakkan dalam posisi membrek.
  3. Mematikan enjin dan menarik keluar kunci.
  4. Tanggalkan tali pinggang keledar.
  5. Melihat cermin sisi dan pandang belakang sebelum membuka pintu.
  6. Buka pintu perlahan-lahan dan keluar dari kenderaan.
  7. Tutup pintu dengan rapi.
  8. Kunci semua pintu sebelum meninggalkan kenderaan.